Kementerian Pendidikan Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum

Senarai  Sukatan Pelajaran

PENDAHULUAN

Dalam usaha hendak melahirkan warganegara yang taat setia dan cintakan tanahair, maka perlulah para pelajar diberikan satu tanggapan dan pemahaman yang mendalam terhadap akar umbi dan proses perkembangan masyarakat dan negara. Kesedaran mendalam terhadap hakikat bahawa negara kita Malaysia telah melalui berbagai-bagai zaman dan cabaran serta kejayaan akan mewujudkan kebanggaan dan keperibadian bangsa Malaysia. Untuk mencapai hasrat ini, mata pelajaran Sejarah memainkan peranan yang penting.
Sejarah merupakan rekod atau rakaman yang melibatkan pentafsiran tentang kemanusiaan. Oleh itu pembicaraannya semestinya tentang setiap aspek kehidupan individu dan masyarakat yang meliputi politik, ekonomi dan sosial. Mata pelajaran Sejarah akan memberi penekanan kepada unsur-unsur kesinambungan dan perubahan yang telah berlaku dalam kehidupan masyaraat dan negara. Dengan ini para pelajar memperolehi pengetahuan dan pemahaman yang menyeluruh tentang masa lalu dalam rangka melengkapan mereka dengan pengetahuan asas tentang hakikat masa kini.
Pada asasnya mata pelajaran Sejarah bertujuan untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanahair. Oleh yang demikian mata pelajaran sejarah akan menitikberatkan ciri yang afektif dan nilai-nilai yang dapat memupuk semangat kewarganegaraan. Pemilihan kandungan pelajaran berkisar kepada berbagai-bagai aspek pengetahuan yang membangkitkan kesedaran, keinsafan, perasaan menghormati, menghargai, menerima dan meyakini serta berasa bangga dengan keadaan masyarakat dan negara. Berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, para pelajar akan dibimbing untuk menganalisa dan menilai fakta-fakta sejarah negara diharap dapat membina kekuatan semangat cintakan negara sebagai tempat kita lahir, hidup dan mati.
Walapun intipati sejarah adalah berkenaan dengan masa lalu, tetapi penonjolan sejarah sebagai suatu kuasa yang hidup perlu dilakukan. Perkara-perkara yang lalu seharusnya dipelajari dan difahami dalam kesedaran masa kini dan mengaitkannya dengan hakikat semasa. Ini dapat dilakukan menerusi teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pelajar-pelajar secara aktif. Sejarah juga hendaklah ditonjolkan sebagai bahan renungan untuk mendapatkan iktibar, dorongan dan memperkaya kehidupan sebagai individu dan warganegara Malaysia.
Sehubungan dengan ini para guru sejarah hendaklah sedaya upaya menjalankan tugas mereka dengan satu iltizam dan bukannya berlagak kaku dan dingin menyampai fakta dan mesej sejarah. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran para guru seharusnya dapat menjadikan sejarah itu supaya minat pelajaran terhadap sejarah dipertingkatkan di samping menyerapkan nilai-nilai yang dapat memupuk semangat kewarganegaraan.

ke atas
|Kementerian Pendidikan Malaysia| Ke Alam Pendidikan |

Senarai Sukatan Pelajaran