Kementerian Pendidikan Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum

  Senarai  Sukatan Pelajaran

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ke atas

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ke atas

ORGANISASI KANDUNGAN

A. Asas Organisasi

Mata pelajaran Sejarah adalah pendukung utama pemupukan semangat kewarganegaraan. Oleh yang demikian kandungan kurikulum Sejarah akan memberi penekanan terhaap pengetahuan tentang sejarah negara dan nilai-nilai yang dapat memupuk semangat kewarganegaraan.

(i) Pengetahuan tentang sejarah negara

Pengkajian tentang sejarah negara bermula dengan Zaman Kesultanan Melayu Melaka dijadikan titik tolak kerana pada masa itu telah wujud sebuah Kerajaan Melayu yang agung dengan tradisi kehidupan masyarakat yang kekal diwarisi sehingga sekarang. Berlandaskan kerangka masa inilah akan dikaji perubahan dan kesinambungan warisan tradisi kehidupan masyarakat dan negara daripada segi politik, ekonomi dan sosial. Walaupun pengkajian sejarah negara dimulakan dengan Kesultanan Melayu Melaka, sejarah petempatan-petempatan dan kerajaan-kerajaan awal di Gugusan Kepulauan Melayu juga akan dikaji.

Kandungan kurikulum sejarah juga memberi tumpuan kepada aspek-aspek tempatan dan sejarah negara luar. Aspek sejarah tempatan memberi perhatian kepada pengkajian sesuatu tempat atau kawasan sebagai satu unit masyarakat yang lebih kecil daripada negeri ataupun negara. Tegasnya, pengkajian sejarah tempatan akan bersifat mikro iaitu tentang hal-hal bersangkutan dengan keadaan setempat. Unsur-unsur yang boleh dijadikan bahan kajian merangkumi sejarah tokoh, benda, institusi, peristiwa, adat istiadat dan kebudayaan setempat.

Dalam pemilihan aspek-sapek tentang sejarah negara luar pula, kriteria utama ialah yang ada kaitan dengan sejarah Malaysia. Aspek-aspek ini dimasukkan dengan tujuan supaya pelajar-pelajar dapat memahami secara lebih jelas lagi tentang sejarah negara di samping mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah negara luar yang berkenaan.

(ii) Pemupukan semangat kewarganegaraan

Pendidikan sejarah akan menitikberatkan nilai-nilai yang dapat memupuk semangat kewarganegaraan. Melalui pengertian dan penghayatan sejarah negara, semua usaha membina keperibadian bangsa Malaysia ditekan dan diberi keutamaan.

Nilai-nilai kewarganegaraan yang dipupuk adalah seperti berikut:

1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia

- berakhlak dan berbudi pekerti mulia
- menghormati raja dan pemimpin negara
- menghormati lambang-lambang negara (seperti bendera, lagu kebangsaan, jata negara)
- menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara
- menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa

2. Bersemangat setia negara
- cintakan bangsa dan negera
- taat dan setia kepada raja dan pemimpin negara
- sedia berkoran untuk bangsa dan negara
- bertanggungjawab kepada bangsa dan negara
- berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara
- peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara

3. Bersemangat kekitaan
- bersatupadu dan berharmoni
- bertolak ansur dan bertoleransi
- bekerjsama dan tolong-menolong
- hormat-menghormati
- bersefahaman dan bermuafakat
- muhibah

4. Berdisplin
- mempertahankan dan menjunjung Perlembagaan Negara
- mematuhi peraturan dan undang-undang
- berkelakuan sopan dan bertatasusila
- bertanggungjawab
- bertindak dengan wajar
- bersifat amanah dan jujur
- berlaku adil dan bertimbang rasa

5. Berusaha dan produktif
- rajin dan gigih
- berdikari
- sentiasa mempertingkatkan usaha
- tabah menghadapi cabaran
- menyokong dan melibatkan diri dalam usaha pembangunan negara

 B. Tumpuan Kajian

Kandungan kurikulum sejarah digubal dalam dua bahagian iaitu bagi Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Menengah Atas. Di peringkat Sekolah Menengah Rendah kandungan kurikulum memberi tumpuan kepada pemahaman yang menyeluruh dan memberikan satu gambaran lengkap tentang sejarah negara. Oleh itu kandungan pelajaran Sejarah berbentuk rentetan kisah-kisah yang disusun secara kronologis. Rentetan kisah-kisah ini membawa tema-tema tersendiri yang dijadikan pokok pembicaraan. Di peringkat Sekolah Menengah Rendah, pengkajian tentang sejarah tempatan akan menjadi sebahagian dairpada pelajaran Sejarah. Bagi aspek-aspek sejarah luar, kajian tidak dibuat secara berasingan tetapi dibincang bersama-sama sesuatu tajuk yang berkaitan dengannya.

 

ke atas
|Kementerian Pendidikan Malaysia| Ke Alam Pendidikan |

Senarai Sukatan Pelajaran